Powered by Blogger.
RSS

Tutorial: Origami Bunga Tulip

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNya,

Hari ini, hari terakhir dalam bulan Mei, dan telah memasuki 21 Rejab. Terasa pantas masa yang berlalu. Lebih kurang dalam 39 hari lagi untuk kita sampai kepada Ramadhan, bulan mulia yang sentiasa dinanti-nantikan oleh muslim. Kami doakan buat rakan-rakan muslim agar kita semua bertemu dengan Ramadhan untuk tahun ini. Amin.

< sebak, syahdu dan sayu>

Lupa pula, hari ini juga merupakan penghulu segala hari. Sayyidul ayyam!

Baiklah sebelum kami kongsikan tutorial ini, dengan rasa rendah diri kami ingin beritahu bahawa kami sendiri belajar untuk membuat origami ini melalui VIDEO INI. Tutorialnya lengkap dan mudah difahami. Namun ianya di dalam versi Inggeris.

Kami dapati ramai yang menjumpai blog ini kerana mahukan tutorial dalam Bahasa Melayu. In shaa Allah kami akan kongsikan ilmu dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai perantara.

Terlebih dahulu kami mohon maaf andai tutorial ini sukar difahami dan menghampakan kawan-kawan. Kami cuba hasilkan seauatu yang boleh dimanfaatkan oleh kawan-kawan.

Seperti biasa, kita mulkan dengan Bismillahirrahmanirrahim...


1. Gunakan kertas berbentuk segi empat sama. Ukurannya bergantung kepada bunga yang ingin dihasilkan. Untuk tutorial ini kami menggunakan kertas memo yang berukuran 9.5' X 9.5' (ianya akan menghasilkan bunga yang berdiameter 2.5 cm dan tingginya 3.5cm)


2. Kemudian kita akan lipatkan ianya mengikut garisan. Garisan putus-putus ini bermaksud, kita akan lipat dan buka semula lipatan. Tujuannya hanya untuk mendapatkan garis lipatan.


Inilah hasilnya apabila kita melakukan lipatan. 


3. Kemudian kita terbalikkan kertas.

4. Lipat mengikut garisan, kemudian bukakan lipatan.


Kita akan dapat hasilnya seperti ini. 


5. Kemudian, kita lipatkan ia, supaya menjadi segitiga sama kaki. Anak panah menunjukkan ruang yang dilipat ke dalam bagi menghasilkan segitiga sama kaki. 


Nanti dia akan jadi macam ni. Bawahnya terbuka dan berlipat, bucu atasnya macam payung.


6. Kemudian, kita lipatkan mengikut garisan supaya dia menjadi bentuk diamond. 



Macam di atas ni.


7. Kita buatkan lipatkan yang sama di bahagian belakang pula. Ia akan jadi seperti di dalam gambar.

Baiklah, lepas ni agak tricky sikit, perhatikan gambar betul-betul dan baca keterangan ye kawan-kawan.


8. Untuk langkah ini, kita akan lipatkan dari kanan ke kiri (flip over). Buat di kedua-dua bahagian.


Kawan-kawan boleh nampak tak perbezaannya, bila kita buat flip over tu, di bahagian tengahnya takkan terpisah seperti sebelumnya. Kedua-dua bahagian depan dan belakang akan kelihatan seperti di dalam gambar. 


9. Sebelum lipatan seperti di atas dilakukan, kawan-kawan kena pastikan yang bahagian atas (seperti yang ditunjukkan oleh anak panah) adalah bucu yang mempunyai lubang. Bukan bucu yang 'berambu-ramba' (kawan-kawan fahamkan, hehehe). 

10. Bila dah berada di keudukan yang betul bolehlah kita mula lipatkan ia, lebih sedikit dari garisan tengah (garisan dot-dot mewakili garisan tengah) Lihat kedudukan titik hitam tu, di situlah bucu lipatan kita akan berada. 


11. Lakukan lipatan yang sama di kedua-dua belah. Seperti gambar di atas. Pastikan juga ianya dilipat lebih sedikit dari titik tengah (ia akan menjadi lipatan yang bertindih).

Langkah seterusnya juga agak tricky, tapi jangan bimbang, nampak je macam susah. Hakikatnya, melakukan lebih mudah dari melihat.


12. Apabila kita close up di bucu tu, kita akan dapat lihat ruang lipatan seperti di dalam gambar. Betulkan? Kawan-kawan hanya perlu masukkan bucu yang lagi satu ke dalam ruang lipatan tu. (p/s: untuk langkah ini tidak kisah mahu masukkan dari kiri ke kanan atau kanan ke kiri, ikut keselesaan kawan-kawan)

13. Kemudian, tekankan ia dengan jari bagi mengemaskan lagi lipatan.


Ia akan kelihatan seperti gambar di atas.. 


14. Lakukan langkah yang sama di bahagian belakang. Dan ia akan kelihatan seperti di dalam gambar. Masih ingat tak lagi bucu yang mempunyai lubang tu (dalam bulatan)


15. Kita akan tiup di bahagian lubang itu. Tujuannya untuk jadikan ianya mengelembung macam bola. Sesiapa yang pernah buat origami bola masa kecil-kecil dulu, mesti tau bagaimana mahu tiup. (p/s: kami tak tiup, hanya tekan-tekankan dan tarik dasar garisan supaya ianya menjadi dasar yang berbentuk petak)


Taraaa...ia akan jadi macam ni. Macam bentuk piramid pun ada kan ^-^


16. Kemudian, kita akan tarikkan kertas (macam kopek kulit pisang) ke bawah. (Tip: ada kertas yang bertindih, jadi kita tarikkan yang tak bertindih dulu, baru yang bertindih tu. Nanti kelopak bunganya akan kelihatan cantik)


Haaa...cantik tak hasilnya. Terujakan bila dah siap ^-^

Sebenarnya nampak remeh, tetapi percayalah, membuatnya lebih senang dari menulis tutorial ni. Hehehehehe.

Baiklah bunga dah siap, daun dan batangnya mana?

Sabar...sabar...ambil nafas sekejap ^-^ alhamdulillah...

Dah bersedia semua? Jom!


1. Kita akan gunakan kertas berbentuk segiempat sama (kami gunakan sama saiz dengan yang buat bunga tadi). Kami gunakan warna hijau...daunkan...tapi kalau kawan-kawan nak bereksperimen dengan warna, boleh je gunakan warna yang disukai ^-^ (p/s: ketinggiannya nanti lebih kurang 6.5 cm)


2. Buatkan lipatan mengikut garisan, dan bukakan semula lipatan.


3. Kemudian, kita akan lipat mengikut garisan (rujuk gambar di atas).


4. Kita akan dapat hasilnya seperti di dalam gambar. Kemudian kita lipatkan lagi mengikut garisan.


5. Dan ulang lipat mengikut garisan (Tip: Untuk langkah nombor 4 dan 5, ketelitian dan ketepatan amat diperlukan bagi menghasilkan batang yang tajam meruncing dan cantik)


Hasilnya seperti gambar di atas ini.


6. Kemudian kita terbalikkan ia.

7. Lipatkan dari bucu bawah ke bucu atas berpandukan garisan. (Tip: Temukan bucu bawah dan bucu atas bagi mendapatkan hasil yang cantik)


8. Kemudian kita akan lipatkan ia mengikut garisan tengah.


9. Ia akan kelihatan seperti di dalam gambar. Kemudian, kita akan tarikkan kertas (sama seperti kita tarikkan kelopak bunga tadi) bagi menghasilkan bahagian daun.


Taraaa...dah siap batang dan daunnya ^-^


Akhir sekali, cantumkan bunga di bahagian batangnya (masukkan je di bahagian lubang). Kawan-kawan boleh juga menggunakan gam bagi bunganya terletak, tetapi jika dibiarkan begitu sahaja, nampak lebih semulajadi. Chewaahhhh... Kami selalunya tidak meletakkan gam, tetapi untuk jualan, akan diletakkan gam supaya tidak tercabut-cabut. Hehehehe ^-^

Alhamdulillah selesai sudah tutorial untuk hari ini. Syukur dapat kongsikan ilmu di hari Jumaat ini. 

Sebenarnya kami tuliskan tutorial ini sedikit demi sedikit. Selalu je tersimpan di dalam draf. Alhamdulillah hari ini selesai dan dapat dikongsikan.

Buat kawan yang bertanya, semoga berpuas hati dengan tutorial ini. 

p/s: Kawan-kawan, sukacita kiranya kawan-kawan dapat tinggalkan sebarang komen. Kami mahukan maklum balas supaya kami dapat perbaiki kekurangan, dan perkongsian ilmu di sini dapat dioptimumkan. Mudah-mudahan kami dapat hasilkan tutorial yang lebih baik di masa akan datang. Amin ^-^

~cinta~ukwah~hadiah~





  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Hijau Setaman, Menghadiahkan Senyuman

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNya,

Musim cuti sekolah ini, apa aktiviti sahabat-sahabat sekalian. Di tempat kerja Yati, ramai yang bercuti sempena cuti sekolah ini. Meluangkan masa yang berkualiti untuk keluarga dan anak-anak. Sesuatu yang tidak asing pada era ini lantaran ramai keluarga sekarang, kedua-duanya bekerja bagi menampung keperluan sehari-hari. 

Bila Yati kata begini, pasti banyak minda terjurus pada isteri yang keluar bekerja. Tidak, jangan lupa, hari ini ramai juga suri yang bekerja dari rumah, berniaga secara di dalam talian. Sungguh, Yati kagum pada para isteri dekad ini. Di samping berganding bahu menjana pendapatan keluarga. Tugas sebagai isteri dan ibu tetap dijalankan dengan sempurna. Sangat hebat!

Mode: Rindu kat rumah. Hehehe. Hari ni mood untuk bekerja dah ke laut.

Hari ini Yati ingin kongsi cerita tentang bercucuk tanamlah pulak. Oh ya, ini baru pertama kali kan Yati kongsikan cerita macam ni? Kejap...semak kejap senarai cerita. Iyalah...pertama kali ^-^

Alhamdulillah Yati dan Incik imamku berkongsi minat yang satu ini. Jadinya tidaklah sorang-sorang mengerjakan laman yang sekangkang kera tu.

Namun, sejak berpindah ke rumah sewa yang baru ini, mood untuk berkebun jatuh merudum akibat kes misteri yang berlaku. Wahhh...macam suspen je ye tak. 

Baiklah, misterinya, sehingga ke hari ini kami tidak tahu siapa atau apa yang telah memakan setiap anak pokok kami yang baru hendak hidup. Mula-mula berlaku pada anak pokok cili yang diimport dari kampung. Baru je sampai Kuantan dalam 2.3  hari camtu. Kemudian, dah hilang. Tinggal pangkalnya sahaja. Tiada remah-remah daun atau batang yang tinggal. Di dalam pasu dan sekitarnya bersih. Sangat misteri!

Selepas itu kes misteri berjangkit pula pada anak pokok kunyit. Sekali lagi, anak pokok yang sedang segar bugar mahu membesar tu, hilang. Kejadian berlaku di malam hari. Hanya satu malam, anak-anak pokok kami hilang, bagai dicantas orang lagaknya. 

Yang terasa sangat misteri tu ialah sebab, kami duduk di kawasan taman, di kawasan bandar. Pintu pagar berkunci. Dan kes hanya berlaku di waktu malam. Tidak meninggalkan jejak atau sisa.

Melihatkan pokok-pokok kunyit habis hilang, kami usahakan lagi tanamkan ibu kunyit di dalam pasu. Nak tahu apa yang berlaku? Keesokan paginya, buka pintu, ruas kunyit tu berada atas alas kaki. Bagai dibuat main. Bila kami letakkan semula dalam pasu. Nanti mesti akan beralih ke alas kaki. Misterikan?

Selepas pokok kunyit, 'ia' beralih pula ke pokok sukulen. Pokok yang menjadi kesayangan Yati kerana ianya dalam kategori kaktus yang kelopaknya membentuk kuntuman ros. Diwariskan dari kakak-kakak teman serumah di zaman bujang dahulu. Yang ini 'ia' tidak makan, tetapi lebih kepada seolah-olah dipijak atau tempat 'ia' melepak.

Pokok yang dia tak ganggu: Pokok daun pandan, ros, daisy malaysia, pokok pucuk manis (punyalah sedap daun kayu ni, tak nak pula 'ia' usik).

Kemudian kami beli pokok stevia, dan cili api cameron highland. Awalnya kami letakkan di dalam rumah. Tetapi melihatkan ia bagai tiada seri, kami kawankan dengan pokok-pokok di laman, Namun, akhirnya kedua-duanya mati. Kecewa, sangat kecewa. Dan kami makin hilang semangat.

Sehinggalah satu hujung minggu. Kami pergi pasar tani dan melihat satu pokok cili yang sangat lebat berbuah.  Teruja. Kami dengan nekad membeli produk baja organik, dan petang itu juga kami mula kemaskan pokok-pokok di laman setelah sekian lama mereka kehausan kasih sayang kami. Huhuhu. Selepas kemas, kami bajakan (Sambil minta maaf kat mereka kerana abaikan mereka selama ini)

Dan kami cuba semaikan benih cili semula. Alhamdulillah, pokok stevia yang mati itu, menampakkan tunas, Dua pulak tu. Mujur tak buang lagi sebab sayang. Jauh kami beli pokok tu. Sehari ke sehari dia membesar. Dah tinggi dalam 3/4 jengkal. Kemudian, zasssss! Hilang! Haih...ada lagi 'ia' rupanya. Sedih kembali. 

Namun seminggu dua ini senyuman kembali menyeri di wajah kami apabila melihat ruang laman itu. Kenapa? 


Tengok pokok kunyit ni, makin segar bugar dia. Geram! inilah pokok yang setiap hari Incik imamku akan alert bila buka pintu rumah pagi-pagi. Alhamdulillah, sehingga pagi tadi, belum lagi diganggu-gugat. 

Cili api Cameron Highland

Cili api kampung
Mujur kami simpan buahnya, bolehlah semai semula. Gambar atas, yati yang semai. Gambar di bawah, hasil tangan Incik imamku. Yang uniknya, kami semai kedua-dua jenis cili api. Namun, hasilnya begitu. Hehehe. Tangan Incik imamku -> cili api kampung. Tangan Yati -> cili api Cameron. Ni pun dalam fasa berjaga-jaga. Mudah-mudahan akan terselamat juga dan membesar. Amin. Hujung minggu ini, kami mahu alihkannya di dalam plastik semai, in shaa Allah.


Keterujaan Incik imamku apabila melihat tunas pokok mawar ni. Masa kemaskan hari tu, Yati cantaskan dahannya kerana sudah meliar di pagar rumah, separuhnya Incik imamku cuba tanamkan semula. Pokok mawar ni, ada cerita tersendiri. Diwaris dari zaman bujang juga. Sangat berhati waja, liar, tahan lasak. Yati panggil dia 'Wild Rose'. Jenis menjalar, sangat mendominasi kawasan kalau tidak ditrim. Dan sentiasa berbunga walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun. Menarikkan? Dan ia satu-satunya pokok bunga mawar yang telah banyak orang merasa bunganya dan anaknya ^-^ alhamdulillah.


Ini pula tunas stevia yang masih baru. Menggantikan yang hilang. Masih lagi 'anak' masih lemah dan bertarung nyawa untuk hidup. Tinggi harapan kami untuk lihat dia terus hidup.


Ini pula pokok daun kari yang memulakan hidup baru. Dulu dia terkena penyakit, habis daun-daun semua luruh, batang keputihan. Tapi kerana sayang, kami masih berusaha merawatnya. Alhamdulillah, sekarang makin galak bercambah. Makin kuat dan bersemangat.


Ini pula pokok hiasan, jenis menjalar. Maaf kami tidak tahu namanya. Awalnya ditanam dalam pasu berair. Namun kerana kemalasan mahu menukarkan airnya selalu, Yati tanamkan di atas tanah. Ketika di rumah sewa yang lama, yati letakkan di tepi tingkap bilik. Cantik apabila dia melilit melingkari bingkai tingkap. Di rumah sewa yang baru ni, dia, hidup segan mati tidak mahu. Hanya baru-baru ini dia kelihatan kembali 'hijau'. Kami yang melihat sangat senang hati.

Inilah dunia kecil kami ^-^ setiap kali kami mahu pergi kerja, mereka akan tersenyum kepada kami, dan kami pun akan tersenyum pada mereka. Dan apabila balik kerja, merekalah jua yang menyambut di laman dengan senyuman ^-^ alhamdulillah.

~cinta~ukhwah~hadiah~









  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Masak Lemak Putih Pisang Muda

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNYA,

Ada yang kecur-kecur air liur tak baca tajuk di atas? Hehehe. Bagi penggemar masakan kampung, dah terbayang keenakan lauk ni. Terbayang juga wajah-wajah kesayangan di kampung. Betulkan? 

Bercerita tentang masakan ini, ada satu memori antara Yati dan arwah nenek. Ketika itu kenduri, sepupu bertunang. Lama dah, masa tu Yati anak dara lagi. Tolong nenek siat kulit pisang muda untuk dibuat masak lemak. Ingat lagi nenek ajar, kalau nak buat masak lemak putih, potong serong-serong, kalau nak masak gulai, potong memanjang. 

Seni dalam memasak, betul, dalam memasak ada seninya. Yati banyak dididik oleh ayah dalam bab memasak ni. Dan ayah, orang yang cukup berseni ketika memasak. Walaupun main campak-campak je, masih ada seni. 

Lagi satu kenangan tentang pisang muda ni. Mula-mula Yati balutkan tangan dengan plastik, hehehehe, kes tak nak tangan hitam terkena getah pisang. Tapi nenek cakap, "tak yah la pakai plastik tu, kalau tangan bergetah, celupkan dalam air garam ni, tengok tangan nenek, mana ada hitam" Jadi, dengan konfidennya Yati cabut plastik tu. Alkisah, masa proses mengerjakan pisang tu memanglah tangan tak hitam. Tapi selepasnya...uwaaaaa....tangan, celah kuku hitam, sebab kena getah. Belum cukup terer lagi macam nenek untuk tidak menggunakan plastik. 

Pisang muda memang sedap dibuat lauk. Namun tak semua pisang muda sesuai dibuat lauk. Kalau tak silap Yati, pisang emas, pisang raja, emmm...lagi tak tau. Yati pun bukannya kenal jenis-jenis pisang ni sangat. Baru je belajar nak kenal pisang sebab Incik imamku suka sangat makan pisang goreng. 

Hari tu tiba-tiba dia tersebut pasal pisang muda. Kalau dah tersebut tu kira teringinlahkan. Punyalah kami cari pisang muda, kat pasar basah, pasar tani, pasar malam, balik kampung, pasaraya pun cari juga, manalah tahukan, tiba-tiba ada. Rasanya tiga minggu pencarian kami itu, barulah berjaya mendapatkannya. Di mana? Di pasar tani (setelah beberapa kali mengunjungi). Haaa...dalam proses mencari tu, kami beli juga pisang, tapi bukan untuk dibuat lauk, pisang untuk digoreng. Banyaklah stok pisang sehinggakan boleh bereksperimen dengan adunan tepung. Hehehe. Itu lain cerita la nanti, in shaa Allah.




Haaa...terliur tak tengok gambar tu. Senang je nak masaknya. Jom, Yati kongsikan resepi.

Resepi Masak Lemak Putih Pisang Muda

Bahan-bahan:

Setengah sisir pisang muda (Yati guna pisang emas, dalam 7-8 biji macam tu)
Sepeket serbuk santan (Yati guna jenama Kara)
* 3 ulas bawang merah
* 1 ulas bawang putih
* Sejemput ikan bilis
Air (untuk bancuh santan)
Sedikit garam

Haaa...mudah je kan bahan-bahannya, tiada pun yang ekstravaganza. Baiklah jom tengok cara-caranya. Haa...sebelum itu Yati mahu kongsikan tip-tip menguruskan pisang muda. Chewahhh...

Tip-tip:
  1. Sediakan air garam bagi mengelakkan pisang menjadi lebam.
  2. Pakai sarung tangan plastik, kalau tiada, ikatkan plastik biasa tu di tangan (ini yang selalu dilakukan). Ini untuk mengelakkan tangan terkena getah pisang.
  3. Sebelum nak bersihkan pisau yang dah terkena getah tadi, lumurkan tangan dengan minyak masak. Kemudian lumurkan pisau dengan minyak masak. Biarkan seketika pisau tersebut. Kemudian, bolehlah dibasuh, nanti getah senang tanggal.
  4. Antara tip lain untuk buangkan getah di pisau. Layurkan pisau atas dapur dengan api yang perlahan. Kemudian, ambil surat khabar lama yang dilipat tebal, oleskan pisau di dalam lipatan surat khabar.
  5. Masak lemak putih ni sedap digabungkan dengan ikan goreng, tak pun masakan sambal.
Mudah-mudahan dengan tip-tip ini dapat jadi panduan bagi yang mahu cuba memasak pisang muda.

Cara-cara memasaknya:
  1. Mula-mula kupaskan kulit pisang. Jangan buang tau. Yati paling suka kulitnya dari isinya apabila sudah dimasak. Hehehe. Sedap sangat. Tapi kalau ada kulitnya yang hitam-hitam, buanglah. 
  2. Kemudian, hiris serong-serong isi pisang, dengan ketebalan dalam 2cm macam tu. Ikutlah nak tebal mana. Yati tak gemar tebal-tebal sangat. 
  3. Santan, kalau dapat yang segar lagi bagus. Kalau guna santan segar beli yang pek kecil pun dah memadai, kerana kita gunakan sikit je pisang. Bagi yang guna santan peket macam Yati, bancuhkan ia ikut adunan yang pekat.
  4. Tumbuk bahan-bahan yang bertanda * (kalau vitamin M melanda, hiriskan sahaja bawang-bawang itu, dan ikan bilis masukkan sahaja dalam periuk)
  5. Masukkan semua bahan-bahan dalam periuk. 
  6. Kacaukan sehingga santan mendidih dan masak. 
  7. Masukkan garam, dan rasa kemasinannya ikut selera.
  8. Sebelum tutup api, pastikan yang pisang dan empuk.
Dah siap, bolehlah dihidangkan panas-panas. Sedap tau.

Kawan-kawan jangan lupa mencuba ^-^ berbaloi-baloi. Kawan-kawan boleh rujuk tip-tip yang Yati kongsikan melalui pengalaman Yati. Jadi, tak perlu makan di luar. Bolehlah masak  sendiri, lebih baik sebab kita tahu tahap kebersihannya, bahan-bahannya dan yang penting ikut selera kita sendiri ^-^

~cinta~ukhwah~hadiah~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Terima Kasih Daun Keladi, Ada Rezeki Teruskan Memberi

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNYA,

Lama juga kami tidak bersiaran di ruang ini. Sibuk sedikit seminggu dua yang lalu. Apa khabar sahabat-sahabat kami di sini? Sihat? Alhamdulillah ^-^ 

Apa aktiviti hujung minggu yang lalu? Long weekend istilah kita sekarang. Cuti tiga hari, ramai yang memanfaatkannya untuk pulang bercuti di kampung. Ada pula yang meluangkan masa yang berkualiti buat anak-anak, lantaran cuti sekolah telah bermula. Apa pun perancangan sahabat-sahabat sekalian, niatkanlah ianya kerana ALLAH. Dan doa kami semoga ALLAH permudahkan urusan sahabat-sahabat; kami; kita semua. Amin ^-^

Hujung minggu kami? Alhamdulillah kami berkesempatan balik kampung KL. Selain berkumpul bersama ahli keluarga, banyak aktiviti yang kami lakukan. Pendek cerita, kami menghargai tiap detik-detik indah yang berlaku. Pengalaman yang ALLAH berikan ini sesuatu yang berharga buat kami. 

Baiklah kawan-kawan, cerita kali ini, kami ingin merakamkan rasa terima kasih kepada sahabat baik kami >>> Laila, kerana sudi memberikan kami stok plastik. Tarrraaa...


Banyakkan...2 beg kertas diberikannya kepada kami. Pelbagai jenis plastik, daripada pembungkus makanan, minuman, sehinggalah ke plastik sabun. Sebenarnya lama dah ianya berada di dalam tangan kami. Alkisahnya, ketika itu kami kehabisan stok plastik. Dan inilah hasilnya apabila dia mengetahui akan hal itu. Tetapi, akibat telah terhenti agak lama, untuk memulakannya mengambil masa juga, hehehehe. 

Nak buat apa plastik-plastik ni? Haaa...lupalah tu, ingat lagi tak dengan tutorial beg dari plastik-plastik ni. Tak ingat? Tidak mengapa, kami tidak berkecil hati pun, kerana memang agak lama kami berhenti kraf yang satu ni. Baiklah untuk mengingati semula, jom kita baca DI SINIDI SINI dan DI SINI

Alkisah lagi, awalnya kami telah berjaya menghasilkan 6 gelung. Tetapi apabila diacu-acukan sebelum menjahit, kami mendapati tingginya agak pendek, kalau mahu jadikan clutch sesuailah. Disebabkan kami mahu jadikannya beg meletakkan telekung, maka proses penghasilannya masih diteruskan.

In shaa Allah, kami akan tunjukkan hasilnya nanti. Dan, kami juga berhasrat mahu meneruskan tutorial yang terbantut, in shaa Allah akan ada bahagian yang ke-4 ^-^ doakan buat kami ye kawan-kawan.



Haa...ini adalah 2/3 dari hasil satu beg kertas (yang berwarna hitam). Tidak semua plastik yang kawan baik berikan itu boleh digunakan dalam projek ini. Melalui pengalaman, plastik yang terlalu tebal, sakit tangan mahu melipatnya dan mencantumkannya pun agak sukar. Ini adalah plastik-plastik yang telah siap dicuci, dalam proses pengeringan sebelum dipotong mengikut saiz 2' X 4.5'

Gambar-gambar ini kami jadikan pencetus semangat untuk menghasilkan beg. Dan kawan-kawan nak tahu tak sesuatu yang membuatkan kami terharu. Kawan baik kami itu masih terus menyimpan stok plastik untuk kami. Laila, terima kasih sangat-sangat atas sokonganmu.

Usaha Laila juga merupakan pencetus semangat buat kami untuk menghasilkan beg kraf kitar semula ini. 

Kawan-kawan, nantikan kemunculannya nanti ya ^-^ in shaa Allah. Semoga ALLAH permudahkan usaha kami ini.

~cinta~ukhwah~hadiah~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

PBAKL 2013 - Terapi Minda

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNya,

Ada sesiapa di sini yang suka membaca. Ada? Kalau ada ucap "alhamdulillah" sambil senyum ^-^ Tidak semua orang mempunyai minat membaca. Soalan kedua, minat membaca genre apa? Novel? Majalah? Ilmu Pengetahuan? Islamik? Travelog? Komedi? Remaja? Begitu banyak sekarang bentuk bacaan, pilihan letaknya di tangan kita. Dengan rendah hati, kami menasihati diri kami dan kawan-kawan, pilihlah bahan bacaan yang memberi manfaat bukan sahaja di dunia, malah di akhirat nanti, in shaa Allah. 

Tak salah kan sambil menyelam minum air. Sambil santai membaca, kita dapat ilmu, teladan dan nasihah-nasihah di sebaliknya. 

Malah jangan lupa juga, membaca telah Allah perintahkan pada awal kerasulan Nabi Muhammad saw. Ingat tak ingat surah al-'alaq? Lihat, besar hikmahNya bagi orang-orang yang sukakan ilmu dan mencari ilmu.

Kami berkesempatan pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, di PWTC. Yang menariknya, kali ini Yati pergi bersama Incik imamku, adik comel dan sahabat baik, Mar. 



Muka-muka yang kepenatan, tetapi sangat teruja untuk serbu pesta buku dan shopping membeli-belah. Kami pergi ke PWTC menaiki LRT. Pergi selepas isi perut dengan masakan chef tok ajis...yum...yum...dan selepas solat. Ketika sampai di stesen PWTC, senario yang biasa dilihat, orang yang berbaris untuk beli token tiket dah macam sardin.

Masuk-masuk je, berapa kali Yati terpaksa menelefon Incik imamku. Sebab, asyik terpisah je. Masing-masing punya minat tersendiri, leka tengok buku dan berjalan membelek buku, sedar-sedar dah hilang dari pandangan. Akhirnya, sentiasa tajamkan mata, mencari ahli geng buku. Hehehe.

Macam-macam aktiviti di sana. 


Ni, adik comel yang teruja buat karikatur, RM 10, di gerai Ujang.

Buku-buku yang kami beli










In shaa Allah ada masa nanti, kami akan buat bedah buku. Hehehe ^-^ 

Ingat tau kawan-kawan. Ilmu perlu dicari. Bagi yang tidak minat membaca, banyak alternatif. Boleh pergi ke majlis-majlis ilmu. Kalau tak berkesempatan, boleh download di Youtube. Boleh juga download audio di IKIM.fm...banyakkan...terpulang kepada kita, tepuk dada, tanya iman ^-^

Kami juga ingin ucapkan Selamat Hari Guru, terutamanya kepada tenaga pengajar yang mendidik kami dari sekolah tadika sehingga kini. Selamat Hari Guru jua buat adik-beradik, ipar-duai, sanak-saudara dan sahabat-sahabat. 

~cinta~ukhwah~hadiah~

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS