Assalamua'laikum dan salam sejahtera,
Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNYA,
Ada yang kecur-kecur air liur tak baca tajuk di atas? Hehehe. Bagi penggemar masakan kampung, dah terbayang keenakan lauk ni. Terbayang juga wajah-wajah kesayangan di kampung. Betulkan?
Bercerita tentang masakan ini, ada satu memori antara Yati dan arwah nenek. Ketika itu kenduri, sepupu bertunang. Lama dah, masa tu Yati anak dara lagi. Tolong nenek siat kulit pisang muda untuk dibuat masak lemak. Ingat lagi nenek ajar, kalau nak buat masak lemak putih, potong serong-serong, kalau nak masak gulai, potong memanjang.
Seni dalam memasak, betul, dalam memasak ada seninya. Yati banyak dididik oleh ayah dalam bab memasak ni. Dan ayah, orang yang cukup berseni ketika memasak. Walaupun main campak-campak je, masih ada seni.
Lagi satu kenangan tentang pisang muda ni. Mula-mula Yati balutkan tangan dengan plastik, hehehehe, kes tak nak tangan hitam terkena getah pisang. Tapi nenek cakap, "tak yah la pakai plastik tu, kalau tangan bergetah, celupkan dalam air garam ni, tengok tangan nenek, mana ada hitam" Jadi, dengan konfidennya Yati cabut plastik tu. Alkisah, masa proses mengerjakan pisang tu memanglah tangan tak hitam. Tapi selepasnya...uwaaaaa....tangan, celah kuku hitam, sebab kena getah. Belum cukup terer lagi macam nenek untuk tidak menggunakan plastik.
Pisang muda memang sedap dibuat lauk. Namun tak semua pisang muda sesuai dibuat lauk. Kalau tak silap Yati, pisang emas, pisang raja, emmm...lagi tak tau. Yati pun bukannya kenal jenis-jenis pisang ni sangat. Baru je belajar nak kenal pisang sebab Incik imamku suka sangat makan pisang goreng.
Hari tu tiba-tiba dia tersebut pasal pisang muda. Kalau dah tersebut tu kira teringinlahkan. Punyalah kami cari pisang muda, kat pasar basah, pasar tani, pasar malam, balik kampung, pasaraya pun cari juga, manalah tahukan, tiba-tiba ada. Rasanya tiga minggu pencarian kami itu, barulah berjaya mendapatkannya. Di mana? Di pasar tani (setelah beberapa kali mengunjungi). Haaa...dalam proses mencari tu, kami beli juga pisang, tapi bukan untuk dibuat lauk, pisang untuk digoreng. Banyaklah stok pisang sehinggakan boleh bereksperimen dengan adunan tepung. Hehehe. Itu lain cerita la nanti, in shaa Allah.
Haaa...terliur tak tengok gambar tu. Senang je nak masaknya. Jom, Yati kongsikan resepi.
Resepi Masak Lemak Putih Pisang Muda
Bahan-bahan:
Setengah sisir pisang muda (Yati guna pisang emas, dalam 7-8 biji macam tu)
Sepeket serbuk santan (Yati guna jenama Kara)
* 3 ulas bawang merah
* 1 ulas bawang putih
* Sejemput ikan bilis
Air (untuk bancuh santan)
Sedikit garam
Haaa...mudah je kan bahan-bahannya, tiada pun yang ekstravaganza. Baiklah jom tengok cara-caranya. Haa...sebelum itu Yati mahu kongsikan tip-tip menguruskan pisang muda. Chewahhh...
Tip-tip:
- Sediakan air garam bagi mengelakkan pisang menjadi lebam.
- Pakai sarung tangan plastik, kalau tiada, ikatkan plastik biasa tu di tangan (ini yang selalu dilakukan). Ini untuk mengelakkan tangan terkena getah pisang.
- Sebelum nak bersihkan pisau yang dah terkena getah tadi, lumurkan tangan dengan minyak masak. Kemudian lumurkan pisau dengan minyak masak. Biarkan seketika pisau tersebut. Kemudian, bolehlah dibasuh, nanti getah senang tanggal.
- Antara tip lain untuk buangkan getah di pisau. Layurkan pisau atas dapur dengan api yang perlahan. Kemudian, ambil surat khabar lama yang dilipat tebal, oleskan pisau di dalam lipatan surat khabar.
- Masak lemak putih ni sedap digabungkan dengan ikan goreng, tak pun masakan sambal.
Cara-cara memasaknya:
- Mula-mula kupaskan kulit pisang. Jangan buang tau. Yati paling suka kulitnya dari isinya apabila sudah dimasak. Hehehe. Sedap sangat. Tapi kalau ada kulitnya yang hitam-hitam, buanglah.
- Kemudian, hiris serong-serong isi pisang, dengan ketebalan dalam 2cm macam tu. Ikutlah nak tebal mana. Yati tak gemar tebal-tebal sangat.
- Santan, kalau dapat yang segar lagi bagus. Kalau guna santan segar beli yang pek kecil pun dah memadai, kerana kita gunakan sikit je pisang. Bagi yang guna santan peket macam Yati, bancuhkan ia ikut adunan yang pekat.
- Tumbuk bahan-bahan yang bertanda * (kalau vitamin M melanda, hiriskan sahaja bawang-bawang itu, dan ikan bilis masukkan sahaja dalam periuk)
- Masukkan semua bahan-bahan dalam periuk.
- Kacaukan sehingga santan mendidih dan masak.
- Masukkan garam, dan rasa kemasinannya ikut selera.
- Sebelum tutup api, pastikan yang pisang dan empuk.
Kawan-kawan jangan lupa mencuba ^-^ berbaloi-baloi. Kawan-kawan boleh rujuk tip-tip yang Yati kongsikan melalui pengalaman Yati. Jadi, tak perlu makan di luar. Bolehlah masak sendiri, lebih baik sebab kita tahu tahap kebersihannya, bahan-bahannya dan yang penting ikut selera kita sendiri ^-^
~cinta~ukhwah~hadiah~
2 comments:
Terimakasih Artikel Masak Lemak Putih Pisang Mud nya bagus dan membantu sekali, semoga sukses selalu yaa .. Aamiin
Salam Aneka Kue Kering
Terbaca this article. Teringat masa ada parents lagi.. suka sgt dgn masakan ni. So went to pasar tani n masak for buka. Thnx for sharing.
Post a Comment