Assalamua'laikum dan salam sejahtera,
Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNya,
Sudah sarapan? Alhamdulillah, syukur dengan setiap rezeki yang Allah kurniakan. Tidak kiralah apa jua yang kita suapkan ke dalam mulut, pastikanlah yang ianya baik dan halal. Lantaran itulah yang akan menjadi darah daging kita.
Pagi ini Yati ingin kongsikan sedikit ilmu yang dikutip dari slot "Motivasi Pagi" di ikim.fm (sekitar jam 7.30 pagi). Maaf, Yati tidak terlepas untuk mendengar siapakah ustaz yang menyampaikan ilmu tersebut, namun isi-isinya, in shaa Allah ada yang dapat Yati hadam dan Yati mahu tuliskan ia sebelum terlupa.
Semoga perkongsian ini membuka mata hati kita untuk sentiasa memiliki jiwa yang luhur, tanpa ada iri hati, dendam dan benci.
Topik pagi ini amat berkesan di hati Yati lantaran perjalanan hidup memandu kita untuk lebih menghargai apa yang kita ada, matang dalam menilai sesuatu, dan sentiasa mahu jadi yang lebih baik di sisiNya. Doa Yati, semoga ujian dari Allah itu tidak menjauhkan kita dariNya, sebaliknya, makin mendekatkan kita kepada yang Maha Pencipta. Dan nilai tambahnya, menaikkan jati diri sebagai hambaNya.
Ustaz berpesan supaya jangan berprasangaka buruk baik kepada Allah atau kepada makhlukNya. Namun, ustaz juga berpesan supaya kita memiliki sifat berhati-hati.
Contohnya, apabila kita sedang berjalan, kita tahu yang lorong itu tidak selamat untuk dilalui. Janganlah pula kita dengan sengaja melalui lorong itu dengan mengambil prinsip berparangka baik ini.
Fahamkan, contohnya mudah untuk kita fahami.
Ustaz juga ada memberi contoh yang melibatkan pergaulan kita sehari-hari. Contoh yang diberi, seandainya sudah ada yang memberitahu yang kawan yang sorang ni apabila pinjam duit, susah mahu bayar balik. Jadi, kita berilah pinjam sedikit sahaja. Kalau dia tidak pulangkan, sedekahkan sahaja. Kalau dia pulangkan, syukur alhamdulillah.
Diambil dari profil FB ikim.fm |
Kemudian, ustaz tambahkan juga supaya kita kenangkan kebaikan orang, dan koreksi kelemahan kita sendiri. Ayat yang biasa kita dengar, "kalau kita tunding satu jari ke orang lain, empat jari menunding ke arah kita" Inilah yang ustaz kongsikan tadi.
Maaflah, Yati mungkin tidak dapat kongsikan secara lengkap tentang isi-isinya tadi (maklumlah, mendengar ketika memandu untuk ke tempat kerja).
Dari sisi pengalaman Yati sendiri, Yati mula belajar sikap ini secara serius apabila Yati mengalami keguguran (lebih kurang setahun yang lalu) Pada ketika itu, Yati merasakn sangat pedih, lantaran itu adalah kandungan yang pertama. Soalan "kenapa" penuh di dalam kepala. Hati tambah pedih apabila melihat muka-muka wajah kesayangan yang hampa, ibarat harapan yang berkecai. Itu yang Yati pernah rasa.
Air mata, tidak perlu kira berapa banyak yang keluar!
Namun bersyukur kerana pada ketika itu, Allah tidak membiarkan Yati terus-terusan berada dalam situasi yang begitu. Suami yang selalu menasihati tentang kasih sayangNya. Dan, Yati dikelilingi oleh benda-benda yang meniupkan semangat untuk menyeka air mata dan redha.
Yati berjumpa dengan cikgu suami. Dia banyak ajarkan Yati tentang sifat redha. Pesannya kepada kami.
1. Berprasangka baik kepada Allah.
2. Minta semua hanya pada Allah (meskipun benda itu nampak kecil dan remeh).
3. Letakkan tawakal hanya pada Allah.
4. Setiap yang berlaku adalah atas kehendak Allah, atas izin Allah.
5. Takut hanya kepada Allah. Sesama makhlukNya kita hormat, tak perlu takut.
Lima nasihat ini, bila kita baca, nampak biasa. Tiada apa-apa yang menarik. Namun, keikhlasan cikgu menasihati kami, memberi kesan di hati.
Sejak dari hari itu, secara perlahan-lahan Yati manfaatkan nasihat-nasihat ini. Bila rasa jatuh, bila inginkan sesuatu, bila rasa resah gelisah, bila segala anasir-anasir tak sepatutnya hadir untuk mencemarkan putih sekeping hati. Ketika itulah nasihat-nasihat ini sangat berguna.
Alhamdulillah, apabila kita susah atau kita senang, kita akan redha. Kita tahu segala apa yang berlaku adalah dengan kehendakNya, dan segala yang berlaku bukanlah sia-sia. Allah uji sesuai dengan kemampuan kita.
Yati ada membaca kisah seorang wanita yang sudah empat kali mengalami keguguran, dan masih tidak putus asa untuk berusaha. Yati juga ada membaca cekalnya seorang wanita berusaha untuk mendapatkan cahayamata setelah bertahun lama. Allah...sabar dan tabahnya mereka!
Yati jua mahu kongsikan ayat ini sebelum Yati berundur diri. Maaf Yati tidak ingat di mana Yati dapatkan ayat-ayat indah ini.
"Andai kau tidak mempunyai ilmu dan hanya memiliki prasangka, berprasangka baiklah terhadap Tuhanmu"
p/s: Yati minta maaf andai tidak dapat menampilkan nama ustaz, (begitu juga dengan ayat di atas) walhal kita sepatutnya tahu nama guru kita. In shaa Allah nanti akan dikemaskinikan. Saya budak sedang belajar.
p/s: Tolong doakan kami agar dapat memiliki zuriat yang baik.
p/s: Jom kita solat sunat Dhuha, masih ada masa lagi ni ^-^
~cinta~ukhwah~hadiah~
0 comments:
Post a Comment