Powered by Blogger.
RSS

Tip-tip Untuk Melipat Unit Segitiga Origami 3D

Assalamua'laikum dan salam sejahtera,

Sahabat-sahabat yang kami kasihi keranaNYA,

Terlebih dahulu pihak kami pohon maaf, agak lewat untuk berkongsi tip-tip. Ada tak sahabat-sahabat yang telah mencuba melipat unit segitiga? Ada? Alhamdulillah...terima kasih pada yang mencuba ^-^ 

Tip-tip yang akan kami kongsikan ni adalah melalui pengalaman kami sepanjang berkecimpung dalam bidang origami 3D ni. In shaa Allah, kami kongsikan sedikit ilmu, mudah-mudahan memberi manfaat buat sahabat-sahabat kami di sini khususnya dan buat sahabat yang bertanya, khasnya ^-^

Baiklah, tip yang pertama: Pemilihan Kertas
Untuk kertas biasanya kami menggunakan kertas berwarna A4 80gsm. Ini kerana kertas yang nipis akan mengurangkan kekukuhan struktur origami. Lagi satu kertas yang nipis menyukarkan ketika kita mahu membina tapak asas origami 3D. Kertas yang terlalu tebal, seperti kertas kad manila, two sheet card, hard cover paper jarang kami gunakan kerana apabila kita melipat dalam kuantiti yang banyak, jari kita akan sakit kerana perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk menekan.

Tip Kedua: Memotong Kertas



Untuk memotong kertas menjadi saiz 1/32 kertas A4, kami lebih gemar menggunakan pisau di awalnya. Ianya lebih cepat dan tepat berbanding menggunakan gunting. Kalau kawan-kawan mempunyai rotary cutter atau , itu adalah yang sangat baik kerana ia boleh memotong lebih dari 10 helai kertas sekali potong. 

Untuk masa yang efisien, kita boleh mengambil 2-5 keping kertas sekali potong. Tetapi, ini bergantung juga pada kecekapan kawan-kawan menggunakan pisau. Mengikut pengalaman kami, 3 helai kertas tu just nice sedang elok. kalau 5-6 helai, dia akan mula lari sedikit daripada garisan, tetapi masih boleh diterima. 

Kami tidak menggunakan pembaris untuk melukis 32 kotak. Lecehkan. Kami lipat dua kertas, potong. Lipat dua lagi dan potong. Sehinggalah yang lipatan yang terakhir, barulah kami menggunakan gunting. Melalui pengalaman kami, menggunakan gunting lebih kemas berbanding pisau ketika potongan yang terakhir (mungkin kerana saiznya sudah terlalu kecil dan kertas menjadi semakin tebal). Oh ya, lupa pula. Andai kawan-kawan memotong 3-5 helai kertas sekaligus, jangan pula ditindihkan kertas yang dilipat dua itu. Nanti setiap kali potong, ketebalan akan bertambah. Jadi, potong satu-satu ye (lihat gambar). 

Tip Ketiga: Mengumpul Kertas-kertas yang Telah Dipotong



Jangan sepah-sepahkan kertas yang telah dipotong. Untuk kekemasan, kawan-kawan boleh ikat menggunakan getah atau kertas terpakai (macam dalam gambar). Satu ikatan tu, selalunya 5 helai kertas. Boleh potong banyak-banyak terus. Kemudian simpan. Apabila nak gunakan, ambil dan lipat. Senangkan. Kami simpan dalam bekas ais krim je. Jimat dan mesra alam. Hehehe Y^^

Tip Keempat: Mengumpul Segitiga-segitiga yang Telah Dilipat



Apabila kita dah lipat segitiga dalam kuantiti yang banyak, takkan kita nak sepah-sepahkan pula, ye tak? Jadi, kami suka susunkan dia menjadi satu barisan. Hehehe. 



Macam ni...barulah kemas. Sebenarnya apabila kita buat begini ia bukan sahaja kemas. tetapi juga ianya memudahkan kita apabila mahu membina origami 3D. Lebih-lebih lagi ketika membuat tapak asas yang selalunya mengandungi 2-3 lapisan. Lagi satu ianya juga memudahkan untuk mencantumkan unit-unit kerana bukaannya dah luas sikit.

Tip Kelima: Keselamatan

Pastikan kawan-kawan sentiasa berhati-hati apabila menggunakan gunting dan pisau. Bukan itu sahaja yang tajam. Kertas juga sebenarnya tajam. Sesiapa yang biasa bermain dengan kertas, tau akan perkara ini. Kalau tangan kita terlayang di tepi kertas, boleh meninggalkan calar/ hirisan. Pedih juga tau meski tak berdarah. Dan lagi, bucu segitiga juga agak tajam (bergantung kepada ketepatan lipatan), hati-hati semasa memegang atau membina struktur origami 3D.

Tip Keenam: Melipat Segitiga

Sebenarnya tidap perlu sebuah meja atau lantai untuk melipat segitiga. Kita boleh melipatnya secara bebas lantaran saiznya yang kecil. Kawan-kawan boleh melipat ketika dalam tren, ketika menunggu waktu giliran, ketika menunggu lampu isyarat (ini yang selalu kami lakukan. hehehe), ketika menonton televisyen, ketika melepak di taman dll. Asalkan ada masa senggang. Kerana apabila kawan-kawan telah mahir melipat, tidak perlu lagi terlalu fokus melihat garis lipatan. 

Dan ini juga boleh dikira sebagai promosi, kerana apabila orang bertanya, "buat apa tu?" kawan-kawan bolehlah jawab, "tengah lipat kertas, nak buat origami" kalau bawa contoh origami 3D yang telah dibuat lagi bagus. Tidak perlu susah-susah nak terangkan panjang lebar. Mana tahu, ada yang berkenan dan buat tempahan ^-^

Bagaimana kawan-kawan, rasa mudahkan mahu melipat segitiga. Yang penting tekun dan rajin. In shaa Allah di lain masa, kami akan kongsikan pula bagaimana mahu membina bakul bunga yang cantik tu ^-^ Bakul tu memerlukan tiga warna. Anggarannya 93 unit segitiga untuk warna A, 50 unit segitiga untuk warna B, dan 41 unit segitiga untuk warna C (warna-warna mengikut selera sendiri). Ini anggaran kami sahaja, kawan-kawan boleh sediakan dalam jumlah yang lebih. Kawan-kawan bolehlah melipat dahulu segitiga-segitiganya sementara menunggu kami bersiaran lagi ^-^ in shaa Allah.

~cinta~ukhwah~hadiah~


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment