Assalamua'laikum dan Salam Sejahtera,
Sahabat-sahabat yang dikasihi keranaNYA,
Alhamdulillah, hari ni, kita berkesempatan untuk berjumpa lagi. Setelah sekian lama menyepi.
Apa khabar kawan-kawan semua, doa kami agar kalian, dan kami diberi kesihatan yang baik, amin.
Kami sedang mengemaskini folder gambar, banyak sangat kenangan. Tiba-tiba rasa, eh, dah kongsi ke pasal Sumayyah dalam blog. Bila search, oh, belum lagi, Sumayyah dah nak masuk 10 bulan dah ^-^ Takpelah, orang cakap better late than never (ayat nak cover ni)
Andai Saffiyya dulunya ditanya "Saffiyya je, nama panjangnya apa?" Untuk adiknya Sumayyah, pertanyaannya berbeza, "Sumayyah, kenapa Sumayyah?" kerana ramai yang berkata, nama Sumayyah kedengarannya lebih 'keras' dan 'kuat' berbanding Saffiyya. Saffiyya lebih lembut, walhal Saffiyya yang sulung, yang kakak. Allahu...persoalan kenapa itu membuatkan kami mengimbau bagaimana tercetusnya nama Sumayyah...
Kalian tahukah syahidah pertama dalam Islam? Sumayyah binti Khayyat...kalian tahukan ceritanya, sebuah cerita yang masyhur, betapa beliau memelihara iman dan tauhidnya. Begitulah harapan kami pada anak kecil kami ini...Harapan dan doa.
Ada juga yang bertanya, "apa maksud nama Sumayyah?" Mari, kami kongsikan, Sumayyah ertinya yang berkedudukan tinggi, yang bersinar. kebangaan. Indahkan ertinya.
Berbalik pada persoalan, mengapa Sumayyah? Andai Saffiyya dulu ekslusif emaknya yang pilih nama, untuk Sumayyah pula, ekslusif dari ayahnya.
Anak kecil ini kuat semangatnya, jitu azamnya, cekal hatinya, in shaa Allah. Mari, kami kongsikan kisahnya. Kisah mengandungkan Sumayyah unik sekali, Kenapa ya...? Satu, kerana tika itu ayahnya sudah draf ke kapal, selalu duty dan belayar...(ye, saya isteri navy). Dua, tika itu Saffiyya baru berusia 10 bulan...Tiga...kisahnya...begini...bagaimana hendak mula, dari mana hendak mula...Allahu...
Tika itu, yati buat UPT di rumah, apabila merasakan lewat kedatangan haid. Positif...Allah je yang tahu tika itu, sejujurnya kami memang hendak anak ramai. Berkongsi gembira dengan suami di telefon. Pergi ke klinik untuk pengesahan. Ok, tika ini, saya kena bebel kerana tidak ikut nasihat doktor, maaf doktor, andai ada rezeki saya mahu anak ramai, tapi umur saya makin meningkat. Telinga, tahan saja, kerana hati sedang berbunga-bunga.
Selang 2, 3 hari kemudian, ada pendarahan. Akibat pernah gugur, rasa takut kehilangan itu ada, terus pergi check. Doktor scan dan beritahu, saya keguguran, kantung baby dah tiada, check lagi dan doktor confirmkan yang dh complete gugur, tak perlu cuci. Di depan doktor yati menangis. Pelukan doktor buat saya lebih syahdu.
Perasaan saya tika itu bagai disentap, dicarik-carik. Senyum saya rupanya tidak lama. Dalam tangisan yang melebat, saya belajar untuk redha. Saya pun berpantang, paling saya ingat, saya makan manjakani untuk pastikan semuanya keluar.
Selepas dua minggu, pendarahan berhenti. Saya menjalani rutin harian seperti biasa. Tetapi mengalami sindrom morning sickness. Mahu sedapkan hati saya kata, mungkin sebab hormon belum stabil selepas keguguran.
Sebulan berlalu, hati makin rasa sesuatu, dua bulan berlalu...saya mula mengadu, mengapa masih belum datang haid sejak keguguran. Mengapa saya cepat penat, mengapa saya muntah-muntah, loya dan mabuk. Suami memujuk...mungkin sebab angin, mungkin sebab hormon. Suami tidak mahu saya berharap.
Hati, gerak rasanya berbeza...saya nekad lakukan UPT. Saya bersedia andai ianya negatif! Menggigil tangan memegang, apabila dua garis jelas kelihatan. Saya ke klinik untuk pengesahan. Betul, positif. Kata doktor cepatnya rezeki. Doktor cuba scan, tapi tidak kelihatan apa-apa, kata doktor, mungkin kerana kecil lagi.
Hati, bicaranya tak sama...saya pergi ke klinik lain, Bercerita dari A hingga Z, kata saya, saya nak tahu sudah berapa minggu, kerana saya tidak datang haid selepas keguguran, tidak tahu bagaimana pengiraan.
Apabila sudah bersedia, scanner diletakkan dan....Allah...Allah...Allah...air mata merembes laju, doktor turut sama rasa terharu. Anak kami sudah terbentuk kepala, sudah ada tangan dan kaki. Apa lagi yang keluar dari mulut, besarnya kuasa Allah. Anak yang disangka telah pergi mengahadap Ilahi, rupanya masih tenang mendiami rahim ini. Keluar dari klinik, saya menelefon suami, esak tangis kedengaran lagi. Dan suami tergamam kaku mendengar, di bibirnya hanya keluar perkataan Allahuakkbar...Allahuakbar...
Itu baru kisah mula, banyak lagi kisah selepasnya. Mengandungkan Sumayyah, perilakunya berbeza, manja itu ada, tapi tidak ketara. Hati kuat dengan bicara Allah kan ada.
Mengandungkan Sumayyah buat saya rasa jangan putus asa dengan rahmat Allah.
Inilah dia, anak kami Sumayyah,
Tika mahu bersalin pun ada ceritanya, Allahu...anak ini memang kuat semangat juangnya.
In shaa Allah esok, dah nak masuk 10 bulan. Sudah banyak cerdiknya, sudah tahu emosi.
Alhamdulillah.
Yang kami beri cuma doa-doa, selebihnya Allah yang pelihara, in shaa Allah
Kami cuma kongsikan secebis kisah. Semoga Sumayyah memiliki akhlak yang mulia, tak gentar dalam menghidupkan agamaNYA, jitu tauhidnya pada Allah. Amin
Ok lah kawan-kawan, entry cerita kali ini agak panjang, agak beremosi.
Mudah-mudahan ada kebaikan untuk dimanfaatkan.
In shaa Allah kita jumpa lagi di lain kesempatan.
Illalliqa' dan salam sayang
~ cinta ~ ukhwah ~ hadiah ~